Monday, November 26, 2018

PERHIMPUNAN REFORMASI TEKSI AKAN TETAP DIADAKAN.

Kami menghormati keputusan Dato Sham yang telah memberi jaminan tidak akan melakukan sebarang protes atau bantahan sehingga 1 Januari tahun depan oleh semua pemandu teksi di bawah syarikat Big Blue Taxi Facilities Sdn. Bhd. Tetapi tidak bererti beliau boleh menghalang kami menuruskan Perhimpunan Reformasi Teksi pada 19/12/2018 ini.

Kami dari Gabungan Teksi Se'Malaysia - GTSM akan tetap mengadakan Perhimpun tersebut di setiap Negeri pada 19/12/2018 sebagai tanda bantahan kami terhadap keangkuhan YB Anthony Loke yang sehingga ke hari ini masih tidak mahu mengadakan sebarang perbincangan dengan pihak kami, serta gagal menyelesaikan masalah berkaitan e-hailing khususnya isu ketidaksamarataan peraturan diantara pemandu kami dengan pemandu kereta sapu e-hailing.

Sebenarnya kami melahirkan rasa kesal terhadap Dato Sham kerana beliau tidak menghormati nasihat dari kami supaya membatalkan perjumpaan bersama YB Anthony Loke yang difatkan tidak tulus dan tidak rasmi.

Perjumpaan tersebut seharusnya diadakan di Pejabat MOT secara rasmi serta dihadiri oleh kami semua supaya segala keputusan yang dibuat lebih transperan dan boleh diminitkan. Tetapi Dato Sham telah membuat keputusan bersendirian dan tidak mahu menghormati pandangan kami.

Kami menyifatkan perbincangan diantara Dato Sham dan YB Anthony Loke siang tadi di perkarangan Parlimen selepas waktu kerja sebagai satu perbincangan tidak rasmi dan tidak lebih seperti sembang petang di kedai kopi.

Ini adalah kali kedua perbincangan berkaitan industri teksi cuba dibuat diluar Pejabat MOT.

Kali pertama pada 8 Nov 2018 ketika kami ke MOT, kami dimaklumkan oleh wakil MOT, sepatutnya kami tidak dibenarkan berbincang di dalam bangunan MOT atas arahan orang atasan, kami hanya dibenarkan berurusan dengan MOT diluar bangunan MOT.

Dan hari ini sekali lagi isu teksi dibincangkan diluar bangunan MOT dan tidak diminitkan. Kami tidak yakin apa yang dibincangkan dan dipersetujui oleh Dato Sham dan YB Anthony Loke mampu menyelesaikan masalah kami.

Kesimpulan :
Kami akui Dato Sham boleh mewakili semua pemandu teksi dibawah Big Blue Taxi Service Sdn Bhd, tetapi beliau tidak mewakili seluruh warga teksi Negara.

Dan inilah salah satu tindakan yang menyebabkan sehingga ke hari ini kebajikan pemandu teksi tidak boleh dibela, mereka tidak mahu bersatu kerana mereka telah hilang kepercayaan kepada wakil-wakil yang telah diberi amanah memperjuangkan nasib mereka.

Perbuatan Dato Sham bukan sahaja memecah belahkan kesepakatan diantara beliau dengan kami (GTSM), tetapi apa yang belaku hari ini benar-benar menyedarkan kami agar lebih berhati-hati dengan pihak berkepentingan (syarikat).

InsyaAllah. kami akan meneruskan perjuangan ini, dan kami tidak akan berputus asa, adat perjuangan, ada yang mudah berputus asa, ada yang tidak bersemangat, ada yang setia, dan ada yang mengkianati.


Kamarudin Bin Mohd Hussain


YDP Gabungan Teksi Se'Malaysia